Atlet wushu lelaki negara, Ho Mun Hua, menyifatkan cintanya terhadap wushu membuatkan dia tidak pernah jemu untuk mencuba selama 10 tahun sehingga berjaya merangkul emas pertamanya di pentas Sukan SEA.

Mun Hua sudah bersama skuad kebangsaan sejak tahun 2007 dan membuat penampilan pertamanya dalam temasya dwitahunan itu ketika di Korat, Thailand.

Namun, dia seringkali kurang bernasib baik apabila sekadar membawa pulang perak mahupun gangsa.

Dengan tuah di laman sendiri, dia berjaya merangkul emas pertama Sukan SEA dalam kariernya menerusi acara nanquan apabila mencatat 9.67 mata untuk mengatasi peserta Vietnam, Quoc Khanh Pham, dan Mohd Sufi Shayiran dari Brunei, hari ini.

"Saya sudah bersama pasukan kebangsaan selama 10 tahun.

"Saya tidak fikir banyak kerana minat mendalam dalam wushu dan berasakan mampu memberikan saingan dalam pertandingan," katanya.

Rakan sepasukannya, Loh Jack Chang, juga menjadi penyumbang emas dalam acara taijian, sekaligus meraih emas keempat daripada enam penampilan dalam Sukan SEA sejak 2007.

Dia juga masih belum pasti sama ada akan terus membuat penampilan di Filipina dua tahun lagi memandangkan umurnya kini sudah mencecah 30 tahun.

"Saya akan mengharungi Kejohanan Dunia (di Kazan, Russia) pada bulan depan terlebih dahulu sebelum memutuskan masa depan saya.

"Pada usia 30 tahun, mungkin saya perlu memikirkan perancangan seterusnya memandangkan saya telah banyak ditimpa kecederaan," ujarnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro GO.