Di sebalik kejayaan yang dilakar Yeap Wai Kin dalam acara qiangshu, tidak ramai yang mengetahui kecederaan lama di bahu kanannya kembali berulang selepas menyumbang emas dalam acara jianshu pada hari sebelumnya.

Wai Kin menunjukkan erti sebenar pengorbanan demi negara apabila mengetepikan kesakitan untuk beraksi dalam acara qiangshu, sekaligus memenangi emas.

Penderitaan kecederaan itu sudah berlarutan sejak Januari lalu.

Walaupun sakit, dia tidak mudah menyerah kalah dan mahu membuktikan kewibawaan di laman sendiri dan ia diterjemahkan dengan persembahan mantap apabila mengumpulkan 9.68 mata.

"Saya berkata kepada diri sendiri agar tidak mempedulikan kecederaan itu dan hanya memberi fokus kepada aksi di dalam gelanggang," ujar atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Dua emas yang dirangkulnya kini adalah pencapaian terbaiknya sejak membuat penampilan dalam Sukan SEA 2011 di Palembang.

Bagi rakan sepasukannya, Wong Wen Son, yang juga merupakan juara dunia 2016, dia terus kempunan untuk meraih emas dalam temasya KL2017.

Ini adalah kali kedua dia tewas kepada Wai Kin dalam tempoh 48 jam selepas mereka bersaing dalam acara jianshu, kelmarin.

"Kami sama-sama bertanding, tidak kisah siapa yang lebih hebat.

"Yang penting negara kita dapat mempertahankan pingat emas," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.