MELAKA UNITED 2 SRI PAHANG 2

Tiga minit menuju masa kecederaan memisahkan kemenangan Melaka United ke atas Sri Pahang dalam pertembungan di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.


Tuan rumah di laluan selesa untuk mengutip tiga mata Liga Super dan secara tidak langsung memusnahkan rentak tiga kemenangan berturut-turut skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu tetapi kealpaan di bahagian pertahanan pada minit ke-87 dan 90 menyekat hajat mereka.

Melaka United memecah kebuntuan pada separuh masa pertama menerusi tampanan Ifedayo Olusegun (m-38) -- hasil umpanan daripada Syazwan Andik Ishak -- untuk merobek gawang lawan selepas kebal sejak tiga perlawanan lalu dan gol kedua mereka menyusul apabila Adriano Narcizo melepaskan rembatan yang mengelirukan dari dalam kotak penalti (m-51).

Namun, Tok Gajah diberi banyak ruang untuk menyusun gerakan berbahaya khususnya tiga kesempatan pada minit ke-70 yang gagal menembusi pintu gol yang dikawal Bryan See.

Ketangkasan Bryan berakhir apabila dia hanya mampu terpaku dengan terpaan kaki David Rowley yang menyelinap di belakangnya di susuli tandukan mengelirukan Shahrul Nizam Nadzir yang kedua-duanya berpunca daripada gerakan sayap.




Untuk itu, Sri Pahang kekal di tangga kelima menuju baki tujuh perlawanan sementara Melaka mengekori di kedudukan ketujuh.




Terengganu dan Negeri Sembilan turut mencetak kemenangan apabila mengalahkan Sarawak United -- jaringan tunggal Kpah Sherman -- dan Petaling Jaya (PJ) City.

Kemenangan selesa 2-0 yang dilakar di Stadium MBPJ itu menyaksikan skuad bimbingan K. Devan tersebut terus menghambat Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di kedudukan teratas.



Keputusan Liga Perdana:

JDT II 1 PERAK 0
KELANTAN 2 PDRM 1

Kredit imej: MelakaUnitedFCofficial