Kuartet 100 meter lelaki Terengganu berjaya mempertahankan pingat emas yang diperoleh empat tahun selepas sekali lagi membawa pulang pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kuartet yang dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Hasrul Najmi Badrul, Muhammad Zulfiqar Ismail, Ruslem Zikry Putra Roseli mempamerkan larian serta peralih baton yang cemerlang mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa 40.59 saat.

Perak memperoleh pingat perak selepas raja pecut Sukma edisi kali ini, Muhammad Azeem Fahmi, melakukan larian terbaik pada 100m terakhir untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 40.95s manakala gangsa menjadi milik Selangor (40.97s).

Dalam edisi 2018 di Perak, kuartet Terengganu turut mendominasi acara tersebut apabila memenangi pingat emas dengan catatan 40.21s.

Sementara itu, kuartet 4x100m wanita Sabah mencipta kejutan apabila berjaya membawa pulang emas menerusi catatan masa 46.84s.

Mereka mengatasi juara bertahan, Terengganu yang terpaksa berpuas hati dengan perak dengan catatan 47.42s manakala Pahang yang ditunjangi ratu pecut Sukma, Nur Sarah Adi meraih gangsa (47.89s).