Atlet boling padang kebangsaan, Muhammad Idham Amin Ramlan, memasang impian untuk meraih emas dalam acara berpasangan lelaki sekaligus mengakhiri penampilan Sukma dengan penutup indah.

Idham yang mewakili Terengganu bagaimanapun menganggap setiap pasukan memiliki peluang sama rata untuk melakar kejutan.

Jelas atlet itu lagi, dia juga mahu menjadikan Sukma kali ini sebagai medan bukti kemampuan untuk kekal berada dalam senarai skuad kebangsaan.

Idham yang bergandingan bersama Farhan Haikal Jamaludin langkah kanan dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan selepas menang ke atas Kedah dengan keputusan 16-11.

Nasib berbeza buat kem Selangor apabila tewas dalam aksi pembukaan kepada Wilayah Persekutuan 11-13.

Bagi Mohammad Haikal Roslan, dia dan rakan sepasuka, Muhammad Haiqal Azami, perlu melupakan kekalahan itu dan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

Untuk rekod, gandingan duo Selangor itu merupakan pemenang pingat emas di Sukma 2018.

Sementara itu, dalam acara tiga berpasukan lelaki, Johor memulakan kempen dengan baik selepas mengatasi Wilayah Persekutuan 13-9.

Bagi Akmal Darwisy Abdul Rahim, pasukan Johor memiliki kelebihan daripada segi keserasian kombinasi selepas mula bergandingan sejak 2018.