Penyandang pingat emas acara lompat tinggi di Sukan SEA Manila 2019, Yap Sean Yee, terlepas peluang untuk pertahankan kejuaraan apabila ditimpa kecederaan lutut.

Kecederaan lutut itu memaksa atlet berusia 27 tahun itu berputih mata daripada membuat penampilan kelimanya di temasya dwitahunan itu sejak muncul di Naypyidaw 2013.

Bagaimanapun, Sean Yee masih belum sedia mengangkat bendera putih dan tetap optimis mahu memburu tempat ke Sukan Asia Hangzhou, namun terlebih dahulu perlu menjalani rawatan pemulihan.

Sean Yee mempunyai tempoh sehingga Jun untuk melepasi had kelayakan ke Sukan Asia, iaitu 1.82 meter, dengan catatan peribadi terbaik Sean Yee adalah 1.83 meter dilakar ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.