Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru setiap persatuan sukan kebangsaan untuk bersama memikul tanggungjawab atas kegagalan kontinjen negara melepasi sasaran pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.

Bagaimanapun, menterinya, Hannah Yeoh, yakin dengan bakat atlet muda yang membawa cabaran negara dalam edisi kali dan optimis mereka mampu membawa pulang pingat emas dalam edisi yang akan datang di Thailand pada 2025.

Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959 apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40 emas 37 perak 64 gangsa.

"Ia tidak boleh hanya dilakukan KBS tanpa melibatkan pembangunan di peringkat sekolah," kata Hannah seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

"Kerana kami lihat ada atlet yang melakukan penampilan pertama pada usia 15 tahun, jadi ia bermaksud mereka perlu bermula di peringkat sekolah.

"Penstrukturan itu amat penting untuk kita melihat strategi Vietnam dan negara lain -- bagaimana sistem mereka dan apakah kekurangan sistem sedia ada di Malaysia.

"Jadi, secara rumusan, kita sedang melihat kepada jangka panjang.

"Kali ini, strategi yang kita gunakan di Kemboja adalah untuk (persediaan bagi menghadapi) Sukan SEA Thailand dan Sukan SEA Kuala Lumpur (2027). Ia dijangkakan untuk dua atau tiga kitaran akan datang.

"Saya meminta persatuan sukan kebangsaan juga memainkan peranan masing-masing untuk melakukan reformasi dalam persatuan sukan kebangsaan bagi memastikan kita bersama-sama membina atlet kita.

"Selepas ini, saya juga akan bertemu atlet yang tidak dapat memenangi pingat emas untuk mendengar mengenai cabaran yang mereka hadapi kerana saya mahu mendengar sendiri daripada mereka," katanya.