Sebanyak 22 pingat emas akan menjadi rebutan dalam acara sepak takraw dalam Sukan SEA Kemboja 2023 bermula Mei depan.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, berkata perkara itu diputuskan hasil perbincangan badan induk berkenaan dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA.

Menurutnya, acara chinlone mendapat kelulusan untuk dipertandingkan buat kali pertama daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja selepas mesyuarat di Phnom Penh, Selasa lalu.

“Mesyuarat tiga jam di Ibu Pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Kemboja dihadiri Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat, dan pada masa sama, buku panduan teknikal sepaktakraw dan chinlone untuk Sukan SEA 2023 diluluskan ASTAF selepas mesyuarat itu.

“Setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh sertai maksimum tiga acara lelaki dan dua acara wanita, namun hanya satu pasukan sahaja dibenarkan bagi setiap acara, manakala tuan rumah dibenarkan menyertai semua acara,” katanya.

Tambah Abdul Halim, pasukan lelaki pula dibenarkan menyenaraikan seorang pegawai, dua jurulatih dan 12 pemain manakala pasukan wanita pula seorang pegawai, dua jurulatih dan sembilan pemain.

“Setiap pasukan yang mewakili NOC masing-masing dalam acara sepak takraw diwajibkan membawa seorang pengadil ISTAF atau seorang pengadil ASTAF,” katanya lagi.

Tambah Abdul Halim lagi, saingan chinlone pula menyaksikan setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh menyertai maksimum tiga acara lelaki, dua wanita dan dua campuran.

“Ketiga-tiga pasukan lelaki, wanita dan campuran hanya boleh menyenaraikan maksimum dua jurulatih dan 12 pemain termasuk dua simpanan.

“Dua pemain simpanan bagi acara campuran membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita. Setiap pasukan sekurang-kurangnya perlu mempunyai enam pemain untuk memulakan perlawanan. Jika kurang daripada itu, penyertaan akan dibatalkan,” ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian