'Persatuan kena tampil jawab', itu perkongsian Chef De Mission (CDM) Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali, selepas kontinjen negara menamatkan saingan di tangga ketujuh Sukan SEA edisi ke-32.

Nasir turut memohon maaf atas kegagalan tersebut apabila Malaysia hanya berjaya merangkul sebanyak 34 emas, 45 perak dan 95 gangsa.

"Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sekiranya sasaran itu sesuatu yang diharap-harapkan dan kita tidak mencapai sasaran 40 emas tersebut.

"Tetapi jumlah 34 emas yang diraih adalah pingat yang berkualiti, saya yakin 34 emas ini akan terus dapat dipertingkatkan,” kata Nasir.

Malaysia antara kontinjen negara yang menghantar seramai 676 atlet dan menyertai sebanyak 33 daripada 36 acara sukan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun lebih mengecewakan apabila Malaysia sekali lagi berada di bawah Singapura yang meraih 51 emas dengan sebahagian besar pingat mereka daripda sukan renang.

Pencapaian buruk kali ini dianggap berpunca daripada beberapa sukan yang Malaysia kuasai atau harapkan, gagal untuk menyerlah dan menyumbang pingat emas.

Antaranya termasuk hoki dalam dewan, kriket, badminton, dan beberapa acara yang dimenangi Malaysia pada edisi sebelum ini tapi tidak dapat dipertahankan.

"Kami adakan tiga mesyuarat jadi ia (sasaran) bukan saat akhir punya kerja dan sasaran itu juga kita bincang dengan setiap persatuan, sebab itu selepas ini kita perlu kembali kepada persatuan dan minta penjelasan,” katanya.