‘Saya tidak boleh kalah kepada adik saya’, semangat itulah yang membawa kepada perjuangan hidup mati Ahmad Nor Iman Kakim, anak legenda muay thai negara, Rakib Ahmad.

Adiknya, Ahmad Nor Iman Alif sudahpun menyempurnakan pingat emas muay thai di Hanoi tahun lalu dan Iman Hakim tidak mahu hanya jadi pemerhati.

Melihat kepada kejayaan adiknya, Iman Hakim enggan ketinggalan jauh dengan memilih kick boxing sebagai laluan terbaik pencarian emas Sukan SEA.

Perjalanan memburu pingat emas Iman Hakim menarik untuk diperkatakan, pernah membutirkan pingat perak dan gangsa dalam taekwando di Filipina dan Hanoi, kini kick boxing adalah jawapan bagi menghadirkan pingat emas Sukan SEA yang diidamkan.

Walaupun mengalami masalah kesihatan serta demam, aksi final Iman Hakim kekal mendominasi tiga set dengan kemenangan 2-1 ke atas peserta Indonesia, Muharram Syach Firman.

"Selepas kejayaan adik memperoleh pingat emas, saya tetap berusaha bagi memastikan saya juga dapat membawa pulang pingat emas untuk negara dan saya sangat bersyukur atas kejayaan ini," katanya.

“Terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara) kerana saya terpaksa diurut tiga kali sebab nak bagi badan saya dalam keadaan baik. Nampak macam alasan, tetapi itulah yang buat saya bersemangat."