'Keluarga, pasukan dan diri sendiri' itu merupakan perkataan yang terpapar di pergelangan kiri dan kanan tangan Faris Harizan cukup untuk menceritakan segalanya selepas membantu skuad hoki negara meraih pingat emas Sukan SEA Kemboja hari ini.

Anak seorang pemandu teksi, niat Faris turun ke padang cukup murni iaitu sebutir pingat emas demi membalas keringat seorang ayah yang begitu banyak bekorban untuknya.

"Saya datang bukan seorang dari keluarga yang senang, jadi ini adalah untuk masa depan saya demi membantu keluarga saya pada masa akan datang," kata Faris.

"Saya sentiasa memberikan yang terbaik tidak mengira di sesi latihan atau beraksi dalam kejohanan, saya akan sentiasa cuba melakukan yang terbaik."

Mengenang kembali cerita sebatang kayu hoki yang menjadi idamannya enam tahun lalu, ayah Faris, Harizan Ariffin, mengotakan kemahuan anaknya walau terpaksa mengambil masa selama setahun membuatkan Faris bertambah sebak.

Skuad hoki negara menepati sasaran memastikan pingat emas milik negara selepas menewaskan Singapura 3-0 dalam aksi final di sebelah petang.