Skuad terjun negara membolot dua pingat emas yang dipertandingkan di Pusat Akuatik My Dinh hari ini apabila Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei menepati ramalan mengungguli acara 3 meter papan anjal seirama lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 sebentar tadi.

Selepas Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong meraih penamat satu-dua dalam acara 1 meter papan anjal individu, Tze Liang dan Yiwei tidak berdepan masalah untuk memenangi pertembungan dua penjuru di venue berkenaan.

Hanya dua peserta bersaing dalam acara itu, di mana Malaysia hanya berdepan cabaran gandingan penerjun tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh.

Tze liang dan Yiwei mengumpulkan keseluruhan 395.79 mata mata, jauh meninggalkan pesaing mereka yang hanya dapat menghimpunkan 305.64 mata, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Filipina pada 2019.