Syafiq Zuber memastikan ada kalungan pingat emas buat skuad taekwondo negara dalam Sukan SEA Hanoi 2021 apabila mengungguli acara Kyorugi bawah 80 kilogram di Gimnasium Tay Ho sebentar tadi.

Atlet berusia 22 tahun itu cemerlang menewaskan wakil tuan rumah, Minh Bao Kha Pham, 15-7 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Ia juga menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam Acara Kyorugi sejak Rozaimi Rozali memenangi acara 68 kilogram dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sebagai rekod, dalam edisi di Manila tahun lalu, skuad taekwondo negara juga meraih satu pingat emas yang disumbangkan Jason Loo dan Nurul Hidayah Karim dalam acara Poomsae berpasangan campuran.