MALAYSIA 1 INDONESIA 1
(Indonesia menang penentuan sepakan penalti 4-3)

Skuad B-23 negara terlepas kilauan pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 selepas tewas kepada Indonesia dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi.

Hadi Fayyadh Abdul Razak menyamakan kedudukan 1-1 selepas Ronaldo Joybera Junior Kwateh membuka jaringan dalam babak kedua tetapi keputusan berkenaan memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Malaysia jelas pasukan yang lebih baik sejak dari awal permainan dan kerap melakukan percubaan ke gawang lawan tetapi sering dikecewakan dengan ketumpulan penyudah.

Sepakan Safwan Mazlan dari sebelah kiri diselamatkan penjaga gol lawan, Ernando Ari, sebelum tandukannya menjelang waktu rehat melepasi palang gol.

Ketua jurulatih, Brad Maloney, memasukkan tiga pemain menyerang baru dalam babak kedua, iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Hairiey Hakim Mamat dalam usaha memburu gol kemenangan dan Malaysia kali ini dihidangkan dengan siri peluang keemasan tetapi masih belum dapat menembusi kubu lawan.

Hadi Fayyadh menggegarkan tiang gol lawan sebaik perlawanan bersambung
sebelum rembatan deras Azam Azmi Murad ditepis keluar Ernando.

Luqman Hakim turut mempunyai peluang hasil gerakan solonya dari sebelah kiri tetapi sepakan terakhirnya melambung tinggi.

Akibat daripada kegagalan itu, Indonesia akhirnya berada di depan hasil satu serangan mengejut, di mana Ronaldo memanfaatkan hantaran pendek Marselino Ferdinan sebelum menewaskan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-69.

Pemain muda negara jelas tidak mudah untuk mengaku kalah dan penyudah Hadi Fayyadh, yang sempat terbias ke bahu pertahanan lawan, membawa Malaysia ke penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Nasib jelas tidak menyebelahi mereka dalam penentuan itu, di mana Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim gagal menyempurnakan sepakan masing-masing untuk membenarkan Sang Garuda memenangi pingat gangsa.