Kalau sudah rezeki sudah tidak ke mana.

Perumpaan itu cukup sesuai buat Khairi Adib Azhar selepas pesilat negara itu menunaikan impian pingat emasnya ketika pertarungan berbaki empat saat untuk mengungguli kelas putra D (60-65kg), sebentar tadi.

Pesilat berusia 20 tahun itu ketinggalan sembilan mata ketika di kedudukan 50-59 di Gimnasium Bac Tu Liem, tetapi selepas penelitian video bantuan pengadil (VAR) pesilat dari Indonesia, Khoirudin Mustakim, dikena menyepak muka lawannya, sekali gus dipotong 10 mata.

Begitupun, Khairi Adib tidak menganggapnya sebagai nasib semata-mata selepas dia mempamerkan semangat pendekar sepanjang laluan ke final.

"Nak kata tidak lawan, saya lawan juga.

"Takdir Allah, Allah sudah tentukan apa yang terjadi.

"Rezeki," katanya yang membuat penampilan kedua dalam temasya dwitahunan itu.





Khairi Adib mengakui berasa pening akibat situasi itu tetapi bersyukur terselamat seterusnya menyumbangkan emas buat kontinjen negara dalam edisi ke-31 ini.

"Alhamdulillah apabila dia (wasit) tanya boleh main lagi, saya jawab boleh.

"Syukur sangat dapat melebihi matanya.

"Saya pening sedikit, rasa sedih dan gembira.

"Saya memang sasar emas, tidak akan hendak gangsa atau perak sahaja.

"Saya memang sasar emas untuk Sukan SEA ini dan harap ia kekal dalam edisi seterusnya," katanya lagi.

Kejayaan itu mengubati kekecewaan kem negara sebelum itu berikutan terlepas emas menerusi Siti Rahmah Mohamed Nasir dalam Kelas F (70-75kg) dan Siti Shawana Ajak kelas D (56-70kg).

Ia emas kedua daripada kem pencak silat selepas mempertahankan reputasi dalam acara silat ganda putra.menerusi Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.