Penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Arifin, mengakui tidak menyangka akan menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara 10 meter air pistol wanita Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Latihan Sukan Kebangsaan Hanoi hari ini.

Menerusi penampilan sulungnya, atlet berusia 19 tahun dari Johor itu berkata, dia tidak berasa gentar untuk berdepan lawan lebih bepengalaman, sekali gus membantunya mencatatkan 239.3 mata untuk menjadi penembak terbaik dalam aksi final.

Lebih manis, dia turut mengatasi penembak bertaraf Sukan Olimpik dari Thailand, Tanyaporn Prucksakorn (238.7 mata), dan wakil tuan rumah, Trinh Thu Vinh (214.1) untuk memanjat podium tertinggi.

"Ia rezeki saya, semangat mereka (rakan sepasukan) masih bersama saya, jadi saya membawa nama Malaysia dalam final dan Alhamdulillah, dapat pingat emas buat mereka juga," katanya kepada Nadi Arena.

Pingat emas yang diraih Nurul Syasya Nadiah itu merupakan yang ke-35 buat kontinjen negara sebelum skuad karate melengkapkan sasaran 36 emas dengan mengungguli acara kumite berpasukan lelaki hari ini.

Seterusnya, dia akan bergandingan dengan pemenang pingat emas kategori lelaki, Johnathan Wong, dalam acara 10m air pistol berpasukan campuran esok.