Atlet lempar cakera wanita negara, Queenie Ting, memecahkan rekod kebangsaan untuk memenangi pingat perak dalam Sukan SEA Hanoi di Stadium My Dinh sebentar tadi.

Atlet berusia 24 tahun kelahiran Sarawak itu melakukan lemparan sejauh 52.36 meter, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini Dipegang Choo Kang Ni dengan 47.91m yang dilakukan dalam Sukan SEA Manila tiga tahun lalu.

Queenie hanya dibezakan 0.73 meter dengan pemenang pingat emas dari Thailand, Subenrat Insaeng, yang merekodkan jarak 53.09m.

Kang Ni turut cemerlang meraih gangsa dalam edisi kali ini dengan lemparan sejauh 46.57m.