Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking, kecewa apabila pasukannya tewas pada minit terakhir kepada Malaysia, terutama selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih daripada separuh perlawanan itu.

Skuad B-23 negara menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA Hanoi di Stadium Thien Truong, Nam Dinh semalam.

Pemain gantian, Azfar Fikri Azhar, muncul wira skuad negara dengan menjaringkan gol pada minit terakhir waktu kecederaan.

Lebih mengecewakan skuad Thailand apabila mereka terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain susulan layangan kad merah buat Jonathan Khemdee gara-gara tindakannya menjatuhkan Syahir Basyah pada minit ke-41.

Insiden itu berlaku berselang lapan minit selepas Patrik Gustavsson meletakkan mereka di depan sebelum Danial Asri mengikat kedudukan buat Malaysia pada minit ke-61.

Keadaan itu jelas mengundang kekecewaan Polking tetapi mengakui layangan kad merah berkenaan merupakan satu keputusan yang adil.

"Sentiasa mengecewakan apabila anda tewas sesuatu perlawanan, terutama pada saat-saat akhir," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Saya fikir kita dapat melihat dua jenis permainan, yang pertama adalah ketika kami bermain 11 lawan 11.

"Layangan kad merah itu mengubah permainan kami. Kami tahu kami akan berdepan kesukaran dalam babak kedua, terutama selepas kad merah itu.

"Malangnya dia adalah pemain terakhir, ia sentiasa berlaku dalam bola sepak dan bukan hanya kepada kami.

"Sudah pasti pengadil akan melayangkan kad merah, ia satu keputusan yang jelas," katanya.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan 3 mata, dua mata mengatasi Laos dan Singapura -- yang terikat 2-2 dalam satu lagi perlawanan -- menjelang aksi kedua menentang Laos pada Rabu ini.


*Kredit foto: FA Thailand