Nurul Syasya Nadiah Arifin yang tidak diletakkan sasaran pingat dalam penampilan sulung memacu pingat emas ke-35 negara dalam Sukan SEA Hanoi, sebentar tadi.

Penembak negara berusia 19 tahun itu menduduki tangga ketiga dalam kalangan 21 peserta untuk melolosi pusingan kelayakan berseorangan selepas Mumtazah Syahiidah Shamsuri dan Bibiana Ng terkandas.

Bagaimanapun, dia tetap tenang untuk mencatat 239.3 mata dalam final format penyingkiran 10 meter air pistol wanita di Pusat Latihan Nasional Hanoi itu.

Penembak dari Johor itu secara tidak langsung mengatasi olimpian Thailand, Tanyaporn Prucksakorn (238.7 mata) yang terpaksa berpuas hati dengan perak sementara penembak tuan rumah, Trinh Thu Vinh (214.1 m) memenangi gangsa.

Semalam, Johnathan Wong turut mendominasi acara sama dengan mengalahkan peserta Vietnam.