Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, meluahkan kekecewaannya apabila terpaksa memendekkan waktu pemulihannya daripada pasca Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Dunia di Tashkent, Uzbekistan, Oktober lalu.

Ia berikutan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) mengumumkan bakal melakukan semula kejohanan pemilihan atlet ke Sukan SEA Hanoi, Mei 2022 -- ini bermakna kedudukan atlet yang berjaya dalam pemilihan sebelum ini sudah tidak sah.

Biarpun 'Mike' menelan realiti pahit gagal mempertahankan Kejohanan Dunia dengan meraih pingat gangsa, dia mempunyai misi peribadi untuk dikecapi yang dijadikan inspirasi terus beraksi di peringkat tertinggi.

"Kami memang menjalani pemilihan untuk Sukan SEA selain Kejohanan Dunia yang sudah dipertandingkan.

"Sekembalinya kami dari Uzbekistan dan dalam tempoh cuti, tiba-tiba MBBF maklumkan kami perlu jalani semula pemilihan.

"Saya dengar ada pihak yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang lalu.

"Tidak mengapa, sebagai seorang atlet saya sanggup hadapi apa jua cabaran," kata juara dunia empat kali itu.