Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, menjangkakan akan mendapatkan skuad penuhnya dalam kem latihan ke Sukan SEA Hanoi selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.

Menjelang temasya itu bulan depan, sembilan lagi pemain mendaftarkan diri semalam berbanding lima sebelumnya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemain negara di kem latihan berkenaan meningkat kepada 14 pemain.

Antara yang hadir semalam adalah penyerang Kedah Darul Aman FC, Aiman Afif Afizul, dan dua pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Umar Hakim Suhar Rezwan dan Daryl Sham Georger, serta pemain tengah Terengganu FC, Nik Akif Shahiran Nik Mat.

Dalam pada itu, penyerang kelab Jepun, Azul Claro Numazu, iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak, dilaporkan telah tiba di tanah air tetapi masih belum dapat bersama rakan sepasukannya berikutan masalah teknikal sewaktu penerbangannya.

Skuad bimbingan Maloney itu dijangka akan berlepas ke Hanoi pada 4 Mei ini bagi bagi menghadapi saingan Sukan SEA.


"Sudah pasti ia tidak ideal bagi persiapan kami tetapi kami sedang berusaha dengan segala yang kami ada dan mahu memanfaatkannya sepenuhnya," kata Maloney kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kami mempunyai banyak kumpulan pemain, jadi kami mempunyai lebih kurang 16 pemain ketika ini tetapi kebanyakan pemain baru tiba semalam dan hujung minggu lalu.

"Kami menilai kecergasan pemain hari ini dan ada beberapa pemain mengalami kecederaan ringan dan bengkak, jadi kami akan berhati-hati dengan mereka dan membantu pemulihan mereka.

"Tiada sebarang jaminan posisi buat sesiapa, jadi bermula minggu ini sehingga kami menentang Timor Leste di Filipina, semua pemain akan memperoleh peluang sama rata untuk dipilih ke skuad akhir," katanya.

Daripada 31 pemain yang menerima panggilan, hanya 20 daripadanya akan disenarai akhir untuk ke Vietnam dan skuad negara akan ke Filipina bagi siri perlawanan persahabatan menentang Timor Leste dan pasukan tuan rumah itu, masing-masing pada 29 April dan 1 Mei ini.

Bagi saingan Kumpulan B, Sukan SEA 2021, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos pada 11 Mei, Singapura pada 14 Mei dan Kemboja pada 16 Mei ini, dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.