Penyerang skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin, berjanji akan menamatkan kemarau pingat emas acara bola sepak dalam Sukan SEA Hanoi bermula minggu depan.

Skuad bola sepak kebangsaan berlepas ke negara tuan rumah itu hari ini menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Thailand di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Sabtu ini.

Meskipun misi itu tampak sukar buat skuad bimbingan Brad Maloney berkenaan untuk menamatkan penantian ibu segala pingat itu sejak 2011, penyerang KV Kortrijk itu menganggap tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.

"Sasaran peribadi saya hanyalah emas, tiada perak atau gangsa," katanya kepada Nadi Arena.

"Pemain lain juga mempunyai mentaliti yang sama.

"Kerana kami juga menyasarkan sasaran itu bagi diri kami dan pasukan, jadi macam-macam boleh berlaku.

"Cuma usaha sahajalah, apa yang penting adalah kami bermain sebagai satu pasukan.

"Pemain semua bersemangat tinggi untuk berjuang buat negara di Vietnam dan semuanya menyasarkan pingat emas.

"Kali ini kami pergi untuk dapatkan pingat emas. Kami akan mencuba yang terbaik untuk dapatkan pingat emas.

"Saya sedar Thailand, Kemboja dan Laos pasukan yang bagus, kami tidak boleh mengambil mudah.

"Kami perlu menggunakan kelebihan yang kami ada dengan sebaik mungkin, termasuk persefahaman dalam pasukan Malaysia," katanya.