Kontinjen negara akan membawa sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dalam Sukan SEA Hanoi bermula 12 Mei ini.

Perkara itu dimumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam perhimpunan akhir kontinjen negara di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini sambil menyifatkannya sebagai satu sasaran realistik.

Ia merupakan sasaran lebih rendah berbanding pencapaian terburuk kontinjen negara dalam Sukan SEA di luar Malaysia, iaitu 56 pingat emas dalam edisi di Filipina pada 2019.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menjelaskan bahawa sasaran yang ditetapkan buat 584 atlet itu adalah disebabkan kebanyakan atlet negara tidak dapat bersaing dalam kejohanan kompetitif selama dua tahun berikutan pandemik koronavirus.

Selain itu, edisi di Vietnam kali ini juga bakal menampilkan ramai atlet muda dan sukan terjun diletakkan sebagai lubuk emas Malaysia dengan sasaran lapan pingat emas.

"Sebanyak 72 pingat, iaitu 25 emas, 18 perak dan 29 gangsa daripada 27 jenis sukan dan 68 acara yang dimenangi dalam Sukan SEA Filipina tidak dapat dipertahankan kali ini kerana tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam 2021," kata Ahmad Faizal dalam majlis itu.

"Untuk makluman semua, seramai 338 orang atlet akan bertanding buat kali pertama dalam Sukan SEA dan prestasi mereka juga belum dapat dibuktikan di pentas Sukan SEA.

"Kejayaan terbesar adalah apabila kesemua atlet kita berjaya melepasi rekod peribadi masing-masing dan kami mendapati bahawa lebih 35 peratus daripada jumlah atlet yang bertanding adalah atlet baru dan Sukan SEA merupakan satu temasya untuk memberikan pendedahan buat atlet-atlet baru ini.

"Perlu kita fahami bahawa mereka ini perlu didedahkan dengan kejohanan antarabangsa supaya dapat mencabar diri, memperbaiki diri sendiri dan sebolehnya membawa pulang pingat.

"Jadi, sasaran yang diletakkan itu amat munasabah," katanya.