Aksi serba tidak menjadi meletakkan penembak negara, Johnathan Wong, dalam tekanan pada saat akhir untuk hanya berpuas hati di kedudukan ke-13 dengan 533 mata bagi acara 50 meter pistol lelaki, Sukan SEA Hanoi, sebentar tadi.

Atlet berusia 29 tahun itu membuka tirai temasya edisi ke-31 dengan harapan tinggi biarpun ini bukan acara kegemarannya.

Pada awalnya, Johnathan mempamerkan persembahan tekal untuk berada di kedudukan keempat tetapi kelemahan hari ini akan menjadi pengajaran buatnya merampas semula pingat emas dalam acara 10m pistol udara yang akan berlangsung Khamis ini.

Wakil tuan merumah memungut emas diikuti Myamar selaku pemenang perak sementara Thailand ditempat ketiga.

"Saya rasa 'perlawanan' tadi agak mengecewakan, sebenarnya rata-rata pesaing di sini tidaklah hebat saya kerana catatan yang mereka lakukan adalah persembahan lazim saya.

"Apa yang mengecewakan ialah saya tidak dapat kawal bidikan yang baik. Ia buat saya keliru.

"Saya tidak dapat hasilkan apa yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Haritz Iklil Hessly Hafiz meraih keyakinan diri untuk meneruskan baki dua acara dalam penampilan pertamanya.

Ia selepas Haritz Iklil mara ke final sebelum mengakhiri saingan di kedudukan keempat dengan 203.2 mata dalam acara 10m air rifle.

"Saya agak bangga dan agak kecewa kerana selain menjadi penyertaan pertama saya dalam Sukan SEA, saya ada peluang.

"Alhamdulillah dan saya belum boleh bersyukur (berpuas hati) kerana ada acara yang belum selesai lagi," katanya.

Seorang lagi wakil, Muhamad Ezuan Nasir Khan, pula tersingkir untuk di kedudukan ketujuh dengan 139.9 mata.