Sukan SEA Hanoi ditutup secara rasmi dalam satu upacara gilang-gemilang di Gimnasium Tertutup My Dinh sebentar tadi.

Upacara itu dimulakan dengan persembahan meriah dengan nuansa warna-warni bertemakan transformasi ibu kota itu dengan tajuk My Hanoi, Your Love.

Di depan orang kenamaan daripada pelbagai negara bertanding, termasuk Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, bendera negara yang bertanding diperkenalkan sambil pingat yang dimenangi setiap mereka turut diumumkan.

Ia kemudian disusuli dengan perarakan setiap pihak yang terlibat dalam menjayakan temasya itu, termasuk barisan pengadil dan sukarelawan.

Temasya edisi ke-31 itu kemudian diumumkan ditutup secara rasmi sebelum obor kejohanan dipadamkan dan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) diserahkan kepada tuan rumah bagi edisi tahun depan, Kemboja.

Sebagai rekod, kontinjen negara menamatkan saingan edisi kali ini dengan kilauan 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa -- mengatasi sasaran awal 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa.