Chef-de-mission (CDM) ke Sukan SEA Hanoi 2022, Datuk Nur Azmi Ahmad, mahu kontinjen negara diletakkan sasaran pingat bagi membalas kepercayaan kerajaan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengumumkan bahawa seramai 574 atlet akan menggalas cabaran negara ke Vietnam pada Mei depan dan majoritinya dibarisi oleh jaguh-jaguh utama sukan negara.

Nur Azmi, yang juga merupakan setiausaha agung Persekutuan Karate Malaysia, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, berkata sasaran perlu diletakkan dalam setiap temasya walaupun persediaan atlet terganggu oleh pandemik COVID-19.

"Sudah pasti saya mahu menyahut cabaran itu dengan sasaran pingat kerana kami juga mahu mengenang jasa kerajaan, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM.

"Kerana kami telah mencuba yang terbaik untuk berjuang daripada segi kewangan dan kini kami telah mendapatkan bantuan kewangan, jadi persatuan-persatuan perlu memainkan peranan penting.

"COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan dan persiapan perlu dimulakan," katanya.

Malaysia akan menyertai hampir kesemua 40 daripada keseluruhan sukan yang dipertandingkan kecuali vovinam, bola baling dan gusti.

Senarai muktamad barisan atlet akan diumumkan selepas tarikh akhir pendaftaran pada 12 Mac ini.