Hasrat penembak negara, Alia Sazana Azahari, untuk melakar hatrik pingat emas di pentas Sukan SEA Hanoi tidak tercapai selepas wakil Singapura mengatasinya pada saat-saat akhir.

Alia Sazana terkilan tidak dapat mempertahankan reputasi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan ia merupakan kali pertama dia tewas dalam pertemuan ketiga mereka.

Atlet berusia 31 tahun itu terpaksa berpuas hati untuk menamatkan acara tunggalnya di Vietnam dengan perak selepas mengumpul 33 mata, hanya dibezakan satu mata berbanding juara, Teh Xiu Hong.

Alia Sazana menunggu lama untuk melengkapkan hatrik pingat emas memandangkan acara ini tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan edisi ke-30, tiga tahun lalu.

Tiga wakil negara mengambil bahagian dalam acara itu tetapi dua daripadanya terkandas dalam pusingan kelayakan yang menyaksikan Bibiana Ng menamatkan bidikannya di kedudukan ke-15 selain Siti Nur Masitah Mohd Badrin ke-12.

Sementara itu, 10m air rifle berpasukan campuran yang juga berlangsung hari ini menyaksikan dua pasangan negara tidak berjaya mara ke pentas akhir.