Jurulatih skuad olahraga negara, M. Balamurugan, berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan pelari muda, Fatin Ilyana Mat Nayan dalam kuartet 100 meter ke Sukan SEA Vietnam.

Tegas jurulatih berusia 39 tahun itu, Fatin layak untuk debut temasya dwitahuan di Vietnam berdasarkan prestasi semasa.

Pelari kelahiran Langkawi, Kedah itu mencatat masa 11.97 saat ketika merangkul gangsa dalam acara 100m akhir di kejohanan KL All-Comers minggu lalu.

"Saya berharap semua telah menyaksikan kemampuan Fatin Ilyana dalam kejohanan sebelum ini untuk dibawa ke Vietnam bagi meraih pengalaman sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA akan datang di Kemboja," kata Balamurugan kepada Nadi Arena.

Dalam perkembangan sama, selain mengharapkan namanya tersenarai, Fatin tekad untuk memberikan aksi yang terbaik meskipun bakal tampil selaku pelari paling muda buat skuad negara pada usia 19 tahun.