Juara dunia skuasy enam kali, Jahanghir Khan, menganggap skuad skuasy negara mampu menjadi pencabar utama dalam perebutan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham hujung bulan ini.

Legenda skuasy Pakistan itu, yang turut pernah memenangi 10 gelaran Terbuka British, berasakan Malaysia sentiasa memiliki dan melahirkan barisan pemain berkualiti.

Kehadirannya dalam sesi lawatan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini sudah pasti akan menjadi tonik terbaik buat barisan pemain negara yang akan berlepas ke Birmingham, Sabtu ini.

"Saya sudahpun bercakap dengan mereka (pemain negara) dan saya pasti, mereka adalah pemain profesional dan sudah bergiat lama dengan sirkit ini, jadi mereka tahu apa yang perlu dilakukan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tetapi sudah pasti beraksi dalam kejohanan besar seperti Sukan Komanwel atau Sukan Asia, semangatnya amat penting kerana anda mewakili negara anda.

"Ini adalah satu acara yang hanya akan dilalui anda setiap dua atau empat tahun.

"Saya pasti mereka hanya perlu meneruskan latihan dan apa yang telah mereka lakukan dan hanya perlu mempamerkannya dalam perlawanan.

"Saya pasti mereka sudah memiliki pengalaman kerana mereka pemain yang sama beraksi dalam sirkit sukan ini, jadi saya fikir mereka boleh melakukan yang terbaik.

"Malaysia sentiasa melahirkan atlet yang bagus sejak dulu lagi, mereka tahu bagaimana untuk menguruskannya dan perkara yang baik adalah Malaysia sentiasa mempunyai pemain terbaik yang beraksi di tahap tertinggi.

"Saya yakin mereka dapat melakukannya dan akan mendapatkan keputusan yang baik," katanya.