Beregu wanita negara, Rachel Arnold dan Aifa Azman, memastikan skuad skuasy negara tidak pulang dengan tangan kosong daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila memenangi pingat gangsa dengan menewaskan rakan senegara, Chan Yiwen-Ainaa Ampandi, di Pusat Hoki dan Skuash Universiti Birmingham sebentar tadi.

Rachel dan Aifa mencatatkan kemenangan mudah 11-3, 11-9, sekali gus menebus kehampaan tewas kepada gandingan tuan rumah, Sarah-Jane Perry-Alison Waters semalam.

Dalam pada itu, hasrat untuk menyaksikan gandingan Ng Eain Yow-Yuen Chee Wern meraih pingat sama dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas tewas 10-11, 6-11 kepada wakil Scotland, Greg Lobban-Rory Stewart.

Kejayaan satu gangsa dalam edisi kali ini turut menyaksikan skuad skuasy negara mengulangi pencapaian sama dalam edisi di Gold Coast empat tahun lalu.