Pemain skuasy lelaki negara, Addeen Idrakie, mampu tersenyum lebar walaupun terkandas dalam suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil hari ini.

Addeen tidak dapat meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas tewas 0-3 (1-11, 9-11, 6-11) kepada pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Tarek Momen.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, dia berkata: "Saya rasa persembahan saya sepanjang minggu ini agak baik juga. Saya rasa saya bermain dengan amat baik.

"Saya fikir perkara paling penting adalah saya dapat kekal dengan perancangan permainan saya seperti yang dibincangkan dengan jurulatih.

"Saya mengekalkan disiplin dalam setiap perlawanan, dalam setiap set dan disebabkan itu, saya dapat bermain dengan baik minggu ini.

"Cuma hari ini, saya rasakan badan saya sudah mencapai hadnya.

"Tarek seorang pemain yang amat baik, dia bekas juara dunia dan kini merupakan pemain nombor tiga dunia.

"Sudah pasti saya akan belajar sesuatu daripada kejohanan ini," katanya.