Impian pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, untuk membawa pulang pingat emas Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England lebur selepas terlibat dalam kemalangan kereta semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Persatuan Raket Squasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, yang memaklumkan Sivasangari, pembawa Jalur Gemilang ke Komanwel kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya.

"Sivasangari cedera di kepala dan badan, saya mahu ke sana (hospital) melawat dia, apa yang kita (SRAM) tahu sekarang Siva tidak dapat bermain untuk Komanwel. Saya sangat sedih dan kecewa perkara ini boleh berlaku," katanya.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan bahawa seorang wanita cedera di kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada pukul 3.46 pagi.

Komander Operasi JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Pegawai Bomba Kanan II, Rosman Ab Rahman, berkata pihaknya menerima laporan awal melibatkan kereta Proton Saga BLM terbakar 90 peratus selepas melanggar sebuah lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.

Rosman turut menjelaskan terdapat mangsa lain dalam kemalangan terbabit ialah seorang lelaki berumur lingkungan 20 tahun yang dipercayai pemandu Proton Saga itu manakala pemandu lori lelaki berusia lingkungan 40 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sivasangari, yang merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, adalah antara harapan pingat emas buat Malaysia.