Temasya Sukan SEA ke-32 secara rasminya melabuhkan tirai sebaik obor dipadamkan dalam upacara penutup yang berlangsung cukup meriah dengan dihadiri puluhan ribu penonton di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.

Ia dimulakan dengan ucapan daripada wakil penganjur Sukan SEA Kemboja, disusuli nyanyian lagu kebangsaan tuan rumah.

Persembahan nyanyian dan tarian bertemakan 'See You Again' memeriahkan majlis penutupan temasya dwitahunan itu sebelum pertunjukan cahaya dan bunga api menakjubkan.

Selepas perarakan masuk maskot, pengadil dan kira-kira 5,000 sukarelawan, penonton dipersembahkan dengan tayangan video memaparkan sorotan aksi Sukan SEA dari 29 April sehingga semalam.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, diberikan penghormatan mengisytiharkan penutupan secara rasminya temasya itu.

Obor kejohanan kemudiannya dipadamkan dan bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA Ke-32 diturunkan, sebelum diserahkan kepada tuan rumah Sukan SEA Ke-33 iaitu Thailand.

Thailand bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh, dengan saingan bakal berlangsung dari 9 hingga 20 November 2025 dengan kemungkinan 43 jenis sukan akan dipertandingkan.

Untuk rekod, Malaysia mengakhiri saingan di tempat ketujuh menerusi pungutan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Edisi kali ini menyaksikan Vietnam muncul juara keseluruhan dengan membawa pulang 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa.

Paling mengejutkan adalah tuan rumah mencatatkan prestasi terbaik sepanjang tempoh penyertaan mereka di temasya berkenaan apabila mengakhiri saingan di tempat keempat menerusi 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.