Juara dunia muay thai 2021, Mohammad Rifdean Masdor, menepati ramalan untuk meneruskan kemaraan ke final kempen Kejohanan Dunia di Abu Dhabi berikutan kemenangan technical knockout (TKO) ke atas Blaseibok Kharbuli dari India.

Jaguh berusia 20 tahun itu memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA Hanoi di sebalik perlu bertanding dalam kelas 51kg berikutan ketiadaan kategori sebenarnya, 48kg

Atas faktor itu, Rifdean berdepan kesuntukan masa untuk menurunkan berat badannya dalam usahanya mempertahankan gelaran dunia.

Begitupun, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu tetap mendominasi saingan sebelum menamatkan cabaran lawannya dengan tendangan lutut.

"Alhamdullilah saya dapat mara ke final.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk menurunkan 4kg selepas Sukan SEA untuk bersaing dalam Kejohanan Dunia pula.

"Dalam pusingan akhir Jumaat ini, saya akan menentang peserta dari Uzbekistan dan segala perancangan saya serahkan kepada jurulatih," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.