Atlet muay thai wanita negara, Raja Izati Nabiha Raja Anuar, memasang misi menamatkan cabaran Kejohanan Remaja Dunia (IFMA) musim ini dengan pencapaian lebih cemerlang.

Raja Izati berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian, tentang impiannya dalam penampilan ketiganya di pentas dunia itu selepas menewaskan Damia Husna Azian dalam pertarungan suku akhir kategori wanita 16-17 tahun bawah 45kg di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, sebentar tadi.


"Saya gembira dapat mengatasi rakan senegara memandangkan pernah dikalahkannya dua kali.

"Saya bangga dengan kemenangan dan secara tidak langsung menjamin pingat dengan kemaraan ke separuh akhir.

"Dalam tiga edisi sebelum ini, saya meraih gangsa jadi saya cari keputusan yang lebih baik.

"Memang saya sasarkan emas tapi saingan ini terutama pencabar dari luar negara kuat.

"Contohnya peserta Thailand, apa pun saya akan cuba yang lebih baik dari tahun sebelum ini," katanya.




Sementara itu, ketika dua atlet muay thai lelaki negara, Putra Abdullah Mahmoud dan Insyad Rumijan, menepati ramalan mara ke peringkat separuh akhir, Farid Ramadhan terpaksa akur perjuangan di pentas dunia itu berakhir selepas tewas secara 'knock out' kepada wakil Turkiye, Chan Dogu, akibat patah hidung.

"Pihak lawan lutut hidung saya ketika saya cuba menumbuk perutnya.

"Saya tersungkur dan saya rasa hidung saya sakit dan tidak boleh bernafas.

"Jadi saya tidak mahu ambil risiko lalu hentikan permainan," katanya.