Putra Abdullah Mahmoud memanfaatkan empat hari terluang sebagai persiapannya menghadapi pertarungan menentukan gelaran Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia, esok.

Dia akan memburu gelaran 16-17 tahun di bawah 67kg di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, selepas mengalahkan Lev Popov dari Persekutuan Persatuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) 1 dalam separuh akhir sementara wakil Kazakhstan, Aitkabyl Yerlan, akan menjadi halangan terakhirnya.

Justeru.Putra tidak gentar untuk meletakkan sasaran tinggi bagi mengukir detik manis selain faktor mengharumkan nama Malaysia di depan penyokong sendiri sekalipun ini merupakan penampilan pertamanya dalam kejohanan ini.

"Saya rasa bersedia (untuk pertarungan) sebab ada empat hari untuk pemulihan, berlatih dan cari stamina.

"Daripada segi kecederaan, fizikal saya di tahap yang baik.

"Saya tidak tertekan. Pilihan utama kejohanan ini sebenarnya dari Russia yang sudah saya kalah, jadi peserta Kazakhstan ini mungkin adalah pilihan kedua, jadi rasa semangat dan tidak takut.

"Walaupun berasa gemuruh dalam pusingan pertama, saya dapat mengharunginya.

"Saya harap kehadiran ramai penyokong dapat melonjakkan semangat kami," katanya dalam persiapan akhir hari ini.

Selain itu, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar juga akan mengintai kejuaraan kategori 14 ke 15 tahun di bawah 60kg.




Setiausaha Agung Persatuan Muay Thai Malaysia, Dr. John Mohd Abdul Rahim, menganggap Malaysia berjaya selaku rumah Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022.

Dengan penyertaan hampir 101 buah negara, ia dilihat mampu mencungkil bakat-bakat baru sukan itu terutama melibatkan bakat tempatan.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Malaysia diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah Kejohanan Remaja Dunia yang bermula dari 8 hingga 20 Ogos ini.

"Malaysia berpeluang menganjurkan kejohanan ini menerusi sokongan agensi-agensi negara.

"Kejohanan ini menarik ramai 10,000 orang termasuk atlet.

"Daripada segi pencapaian remaja dunia, Malaysia mempunyai sembilan pingat emas dan sembilan perak.

"Walaupun ini penganjuran di peringkat remaja, ini merupakan satu kejayaan yang besar bagi kami," katanya pula.