Anak bongsu daripada lima adik-beradik lelaki, Insyad Rumijam, bertekad ditabalkan juara dunia yang pertama dalam keluarganya.

Atlet berusia 15 tahun itu memenangi pusingan pertama kategori bawah 45kg ketika bertemu wakil Russia, Nikita Ermakov, dengan kesemua pusingan Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia anjuran Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini berpihak kepadanya.

Dia, yang mula menyertai seni mempertahankan diri ini sejak berumur sembilan tahun dan berlatih dua kali sehari sebagai persiapan, akan bertemu Izzat Hasanov dari Azerbaijan dalam suku akhir, esok, selain diiringi adiknya, Haitham Rumijam.

"Pertarungan tadi agak sukar daripada segi fizikal, Alhamdulillah saya dapat mengatasinya.

"Saya mahu melakukan yang lebih baik lagi dari hari ini," katanya.






Sementara itu, harapan terbaik negara bagi kategori bawah 57kg, Putra Abdullah, turut mara ke suku akhir setelah menewaskan wakil New Zealand, Boston Moylan, dengan memenangi ketiga-tiga pusingan pertarungan hari ini.

"Saya rasa gembira dan semangat sebab bermain di negara sendiri.

"Saya dapat baca pertarungan tadi jadi tidak menanggung kesakitan untuk aksi suku akhir esok.

"Saya cukup gembira kerana sejak dari kecil lagi teringin untuk bermain dalam IFMA ini dan selepas beberapa kali beraksi di pentas kebangsaan, saya akhirnya dapat mewakili negara dan akan buat yang terbaik demi Malaysia," katanya yang bertemu Axel Manzanarez Loredo, esok.