Pegawai video bantuan pengadil (VAR), Mike Dean, mengakui kesilapannya tidak memberikan nasihat kepada pengadil, Anthony Taylor, untuk menyemak situasi di monitor tepi padang dan melayangkan kad merah buat pertahanan Tottenham, Cristian Romero, sewaktu terikat 2-2 dengan Chelsea hujung minggu lalu.

Aksi di Stamford Bridge itu menyaksikan tuan rumah sedang mendahului 2-1 dalam waktu kecederaan sebelum Spurs diberikan sepakan sudut, di mana pemain kebangsaan Argentina, Romero, dilihat menarik rambut pertahanan Chelsea, Marc Cucurella, sehingga terbaring ke tanah.

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dihentikan seketika bagi memberikan ruang untuk Dean menyemak insiden berkenaan tetapi dia membuat keputusan untuk tidak mengarahkan Taylor untuk ke monitor tepi padang dan memberikan kad merah buat Romero sebelum perlawanan disambung semula.

Harry Kane kemudian menanduk masuk gol penyamaan Spurs pada penghujung perlawanan itu sebelum pengurus kedua-dua pasukan, Thomas Tuchel dan Antonio Conte, kelihatan berkelahi dan diyangkan kad merah selepas wisel penamat dibunyikan.

Ketika Dean menegaskan dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan Chelsea sepakan percuma melalui VAR, dia mengakui bahawa dia sepatutnya menyarankan Taylor agar melakukan semakan terhadap insiden itu.

Dalam satu kolumnya yang diterbitkan Daily Mail, Dean berkata: "Adakala apabila difikirkan semula, anda sedar anda boleh bertindak secara berbeza. Saya kini mempunyai masa untuk mengkaji berkenaan pertembungan di Stamford Bridge, Ahad lalu.

"Saya meminta pengadil, Anthony Taylor, untuk menunggu seketika saya menyemak insiden melibatkan pemain Tottenham, Cristian Romero, dan pemain Chelsea, Marc Cucurella.

"Saya tidak boleh memberikan sepakan percuma sebagai VAR tetapi saya boleh menasihatkan Taylor untuk datang ke bahagian semakan pengadil dan mempertimbangkan kad merah.

"Saya perlu mengkaji insiden Romero menarik rambut Cucurella hanya dalam beberapa saat, saya tidak melihatnya sebagai kekasaran, saya berbincang dengan pengadil lain dan apabila difikirkan, saya sepatutnya meminta Taylor untuk ke monitor tepi padang dan menilainya sendiri.

"Ia menunjukkan bahawa tidak kira betapa berpengalamannya anda -- dan saya sudah menghabiskan lebih dua dekad sebagai pegawai perlawanan EPL -- anda sentiasa perlu belajar," katanya.