Malaysia selangkah menjadi tuan rumah Kejohanan Snuker Dunia pada Oktober depan selepas 35 tahun.

Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia, Melvin Chia, mengesahkan perkara itu selain menjelaskan hanya menanti keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk penganjuran tersebut.

"Kami memang sudah dapat pengesahan daripada badan induk tetapi setakat ini kami perlu tunggu kebenaran daripada KBS dan kami jangka akan mengumumkannya minggu depan sebaik mendapat surat kebenaran," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Kejohanan itu sepatutnya berlangsung di Qatar tetapi negara berkenaan mahu mengelak ia bertembung dengan persiapan penganjuran Piala Dunia hujung tahun ini.

Tambah Melvin, Kejohanan Dunia ini juga akan menjadi kayu ukur tahap prestasi barisan atlet negara.

"Kami berpeluang pantau kedudukan mereka di peringkat dunia sebelum fokus kepada apa yang boleh diperbaiki.

"Sebab itu adalah bagus untuk menganjurkan acara seperti ini," katanya.