Pelumba pasukan Movistar, Ivan Sosa, muncul juara peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Le Taour de Langkawi (LTdL) dari Putrajaya ke Genting Highlands, sekali gus merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan hari ini.

Pelumba dari Colombia itu, bagaimanapun, terpaksa berhempas pulas menamatkan perlumbaan sejauh 123.7 kilometer itu apabila menerima saingan sengit daripada dua pencabar terdekat, Hugh John Carthy (EF Education-Easypost) dan rakan sepasukan, Einer Rubio Reyes.

Dalam pada itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Nur Aiman Zariff, kekal menyarung jersi merah selaku Raja Bukit selepas mendahului kategori itu dengan mengumpulkan 29 mata hasil menakluki dua zon pendakian di Tekali dan Look Out Point Ampang.

Jersi hijau (Raja Pecut) pula disarung pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa, manakala rakan sepasukannya, Andrey Zeits, menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.

Perlumbaan peringkat keempat esok melibatkan jarak sejauh 137.9 meter dari Sabak Bernam ke Meru Jaya.