Meskipun hujan turun semalaman, peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 diteruskan dari Georgetown ke Alor Setar sejauh 120km, hari ini.

Bagi segelintir peminat, keadaan basah tidak menjadi penghalang untuk mengikuti kejohanan perlumbaan berprestij ini.

Dengan baki dua hari lagi dalam perlumbaan ini, enam pelumba melakukan breakaway awal dengan jarak hanya 1:10s dengan peloton di Jambatan Pulau Pinang.

Zon pecutan pertama di atas jambatan dimenangi Thanakhan Chaiyasombat yang mewakili pasukan Thailand, diikuti rapat Kee Zhe Yie daripada pasukan kebangsaan negara dan Tiano Da Silva (Pro Touch).

Keadaan hujan berterusan sepanjang laluan perjalanan ke Alor Setar berkenaan tidak merencat usaha pasukan Alpecin Deuceninck mengetuai peloton dalam menghambat enam pendahulu perlumbaan yang ketika itu hanya 40 saat di hadapan menuju 22km ke garisan penamat.




Dalam 9km terakhir, peloton itu akhirnya memintas keenam-enam pelumba tersebut sambil pasukan Alpecin kekal gah di hadapan selepas cemerlang di dua peringkat terakhir; Meru Raya dan Kulim.

Bagaimanapun, dalam pecutan terakhir, pelumba Uno-x Pro, Erlend Blikra, bijak mencari ruang kosong untuk memecut bagi meninggalkan dua pendahulu, Gleb Syritsa dan Rudiger Selig.

Kredit imej: LTdL