SABAH 2 SELANGOR 3

Selangor mencipta kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih sementara, Nidzam Jamil, apabila mengalahkan Sabah 3-2 ketika bertandang ke Stadium Likas dalam aksi tunggal Liga Super sebentar tadi.


Jaringan kemenangan The Red Giants itu terhasil daripada pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung, pada minit ke-76 menerusi larian derasnya dari sebelah kanan.

Kerancakan aksi separuh masa pertama menyaksikan empat gol terhasil apabila Selangor meledak gol pantas dalam tempoh dua minit menerusi penyudah Mukhairi Ajmal dan Brendan Gan.

Namun, tuan rumah menggunakan 15 minit terakhir babak pertama untuk mengikat kedudukan bermula daripada sepakan percuma Baddrol Bakhtiar dan Jose Embalo.




Sang Badak, bagaimanapun, kurang menyengat mengatur gerak sebaik keluar daripada bilik persalinan berikutan ketiadaan Saddil Ramdani dan Amri Yahyah.

Penjaga gol gantian, Damian Lim, yang masuk menggantikan Khairul Fahmi Che Mat sudah memberikan komitmen terbaik dengan mematahkan percubaan-percubaan menarik pelawat sebelum akhirnya ditewaskan oleh rembatan Htet Aung.

Kekalahan itu menyaksikan barisan asuhan Datuk Ong Kim Swee kekal di tangga kedua Liga Super sekalipun sudah kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan untuk dibezakan enam mata dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selangor bakal berdepan Kedah Darul Aman pada Rabu depan sebelum jadual antarabangsa.