Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tiada masalah menewaskan Shah Firdaus Sahrom untuk meraih pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional Nilai dalam acara pecut lelaki elit hari ini.

Ini merupakan perlumbaan kompetitif pertama Azizulhasni, yang terpaksa menarik diri daripada Piala Negara-Negara di Mesir atas nasihat daripada doktor.

"Ia merupakan perlumbaan yang sangat baik, bersaing dengan Shah Firdaus ini adalah positif buat kami. Ini merupakan persiapan yang sangat baik buat kami menjalani kejohanan akan datang," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati sekali lagi memberikan kejutan selepas menewaskan pelumba senior negara, Anis Amira Rosidi, bagi meraih pingat emas di acara pecut wanita.

"Saya sangat gembira dapat mengekalkan kejayaan yang diraih sejak tahun lalu. Ini merupakan satu perlumbaan yang sangat baik dan ia adalah persiapan yang terbaik untuk menjalani beberapa perlumbaan akan datang," kata Izzah.