Jika ramai memilih Universiti Harvard demi mencari ilmu, lain pula buat atlet skuasy remaja negara, Ishant Shah Atul Kumar, yang menganggapnya sebagai medan terbaik untuk mengembangkan skuasy.

Apa tidaknya, destinasi itu memiliki kelab skuasy terbaik dalam kalangan universiti elit di dunia selain ramai pemain ternama lahir dari situ.

"Saya tidak akan berhenti dengan sukan ini. Pasukan skuasy di Harvard amat mantap.

"Jurulatih dan pasukan bagus akan menjaga saya, termasuk tahap kesihatan fizikal, mental dan pembelajaran," katanya.

Bertolak ke Amerika Syarikat Ogos depan, Irshant mahu pencapaiannya dalam sukan dan pelajaran seiring.

Justeru, atlet berusia 19 tahun itu sedar perlu memiliki perancangan teliti selain meletakkan misi serampang dua mata di Harvard.

"Cabarannya pasti tinggi tapi yang penting saya perlu tahu apa yang dimahukan.

"Sasaran membuatkan saya terus berusaha biarpun kepenatan," katanya.