SABAH 1 JDT 2

Jaringan sepakan percuma Fernando Forestieri menjulang kemenangan 2-1 Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mengetepikan Sabah dalam satu perlawanan dramatik di Stadium Likas yang penuh, sebentar tadi.


Gol pada masa kecederaan itu melengkapkan kebangkitan pelawat selepas Sang Badak terlebih dahulu memecah kebuntuan.

Voli daripada Park Tae-su memberi kelebihan awal kepada barisan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu pada minit ke-19.

Situasi itu menjadikan tempo permainan makin rancak apabila kedua-dua berusaha merencana gerakan untuk jaringan pendahuluan Sabah itu lebur tujuh minit kemudian menerusi Forestieri selepas Arif Aiman Hanapi bijak mencipta peluang.


Baik JDT dan Sabah mempunyai beberapa kesempatan menarik yang dinafikan terutama membabitkan ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat untuk mengawal kubunya.

Tiupan wisel makin kerap merencatkan permainan apabila kekasaran dan pertengkaran mula menghiasi permainan.

Bagaimanapun, JDT memastikan kelebihan empat mata di persada Liga Super -- diekori Sabah -- apabila Khairul Fahmi terpedaya dengan taktik Harimau Selatan ketika menghadapi situasi bola mati itu.

Situasi panas sebaik aksi berakhir menyebabkan pengadil perlawanan, Fusser Mat Salleh, terpaksa dikawall ketat ketika menuju bilik persalinan.

Keputusan lain:

TERENGGANU 2 KEDAH DARUL AMAN 1