Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) di tahap yang berbeza apabila kempunan untuk menjulang Piala FA 2022, sebentar tadi.

Harimau Selatan mempamerkan kehandalan mereka apabila menumbangkan kelab Pantai Timur itu 1-3 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Dalam perlawanan seperti ini, kami tidak mendapat rentak awal terutama di bahagian tengah, iaitu (adalah) penting menguasai bahagian tengah.

"JDT berbeza di semua tahap dalam perlawanan ini.

"Apabila kami tidak dapat menguasai bahagian tengah, sebab itu pemain lain tidak dapat bola.

"Selepas 30 minit permainan, barulah kami buat kesilapan hingga dihukum, saya rasa kami patut jaringkan gol," katanya selepas perlawanan.

Nafuzi berkata kekuatan seimbang JDT di setiap posisi memberi kelebihan sambil dibantu pengalaman mereka bermain dalam perlawanan getir dan walaupun nikmat manis Terengganu untuk mengulangi kejayaan 11 tahun lalu dinafikan, tetapi pengendali itu tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya.

"Di pentas final sebesar ini, dengan apa yang diberikan oleh pemain-pemain saya, saya boleh berbangga dan saya rasa final ini satu kejayaan buat kami semua.






"Jelas kami nampak daripada segi pengalaman. Kita tahu tahap pemain JDT dan kami begitu berbeza terutama di pentas final sebesar ini, daripada segi tekanan dan bermacam lagi.




"Tetapi pemain mencuba berikan yang terbaik.

"Kami memberikan saingan, walaupun dalam keadaan 2-1, kami masih ada peluang. Tapi kami dihukum kesilapan sendiri dan peluang yang ada kami tidak ambil walaupun tahu bukan senang untuk dapat peluang itu.

"Kami sudah jangkakan. Kita tengok JDT baik daripada segi tekanan. Mungkin jarak kedudukan (antara) pemain terlalu jauh," katanya.