Atlet wushu negara, Tan Cheong Min, terkejut apabila dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan dalam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019-20 di ibu negara malam tadi.

Individu berusia 23 tahun itu merupakan atlet wushu pertama memenangi kategori itu sepanjang sejarah ASN dengan mengetepikan nama-nama besar seperti Datuk Pandelela Rinong (terjun) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Keputusan itu dibuat berdasarkan pencapaiannya memenangi pingat emas dalam acara nandao dan pingat perak dalam acara nanquan dalam Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai, China pada 2019.

"Sejujurnya saya tidak sangka akan dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan hari ini, jadi saya tidak dapat meluahkan perasaan saya kerana terlalu terkejut," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, selepas majlis itu.

"Saya kira anugerah ini akan menjadi sumber motivasi untuk saya terus melangkah ke depan dan akan mencuba sedaya-upaya untuk menampilkan persembahan yang lebih cemerlang dalam kejohanan akan datang.

"Saya amat bangga kerana saya tidak menjangkakan akan menang kerana atlet lain juga amat bagus dan cemerlang.

"Saya fikir ia mungkin kemenangan tipis berdasarkan pencapaian saya," katanya.