Bekas tekong negara, Ahmad Jais Baharun, menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila dilantik ketua jurulatih baru skuad sepak takraw negara.

Timbalan Presiden I PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata pemilihan bekas pengendali Johor Tigris itu berdasarkan merit dalam tiga calon yang disenaraikan sebelum ini bagi memastikan skuad sepak takraw negara kembali menyaingi musuh tradisi, Thailand.

“Selain itu, pengalamannya sebagai tekong ketika membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 dan mengemudi Johor Tigris menjuarai Piala Emas Khir Johari pada Disember lalu,” katanya.

Halim, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PSM, juga memaklumkan badan induk itu akan mewujudkan jawatankuasa pemantau dalam memilih pemain untuk menyarung jersi negara.

“Seramai 37 pemain dikenal pasti untuk pemilihan (talent identification) ini bagi mencapai tahap kecergasan dan kemahiran pemain, bukan lagi berdasarkan senioriti sebaliknya pelbagai aspek.

“Daripada itu, seramai 25 pemain akan disenaraipendekkan untuk menjalani latihan bagi persiapan Sukan SEA 2023 di Kemboja dan Sukan Asia 2022 di Hangzhao, China.

“Pelantikan jurulatih skuad lelaki, wanita dan chinlone akan diputuskan dalam masa terdekat setelah urusan pelepasan atau peminjaman dimuktamadkan PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak majikan,” katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian